10,000 peminat dijangka membanjiri Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi untuk aksi liga antara Negeri Sembilan FC dan Selangor FC.
Jangkaan itu dibuat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Negeri Sembilan, Faliq Firdaus bila mengamati jualan tiket untuk aksi tersebut.
Aksi antara Sang Rusa dan Merah Kuning mendapat sambutan menggalakkan daripada penyokong. Ini turut dibantu persembahan baik anak buah Nidzam Jamil dalam dua aksi sebelumnya.
Ini termasuk kemenangan besar 5-0 Negeri Sembilan ke atas PDRM FC dalam aksi pertama pusingan 16 Piala FA baru-baru ini.
Selepas mengetahui 1,832 tiket telah terjual untuk aksi Negeri Sembilan-Selangor pada 20 Ogos lalu, Faliq percaya lebih 10,000 penyokong akan hadir untuk aksi tersebut.
“Dengan melihat trend semasa, (kehadiran di STAR) minimum 10,000. (Sambutan penyokong amat) positif,” katanya di X.
Semakan terbaru di platform rasmi Sang Rusa mendapati 3,100 tiket sudah terjual setakat ini. Penyokong yang berminat boleh tiket menerusi dua kategori iaitu Teres Terbuka dan Astaka.
Tiket Teres Terbuka dijual pada harga RM20.00 untuk orang dewasa dan RM10.00 untuk kanak-kanak. Tiket Astaka pula dijual pada harga RM35.00 untuk orang dewasa dan RM15.00 untuk kanak-kanak.
Kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah dan orang kelainan upaya (OKU) dibenarkan masuk secara percuma ke STAR.
Negeri Sembilan dan Selangor bakal berentap di STAR pada 24 Ogos ini.