Cape Verde yang sebelum ini menjadi seteru Malaysia dua kali beberapa bulan lalu kini mengesahkan tempat ke Piala Dunia 2026.
Pasukan bimbingan Bubista ini mengesahkan tempat ke Piala Dunia 2026 selepas berhasil menumpaskan Eswatini dengan keputusan 3-0 menerusi jaringan Dailon Livramento, Stopira dan Willy Semedo.
Kemenangan selesa di laman sendiri ini meletakkan Cape Verde selaku juara kumpulan D pusingan kelayakan Piala Dunia zon Afrika dengan mengumpul 23 mata selepas 10 perlawanan.
Selaku juara kumpulan, Cape Verde mengesahkan tempat ke Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat sekaligus membuatkan pasukan seteru iaitu Cameroon terpaksa beraksi di pusingan play-off.
Cape Verde menjadi negara dari Afrika ke-6 yang layak ke Piala Dunia tahun hadapan mengiringi pasukan pilihan lain iaitu Mesir, Maghribi, Tunisia, Algeria dan Ghana mara lebih awal.
Untuk rekod, Cape Verde yang berada di ranking ke-70 dunia ini pernah hadir ke Malaysia sekitar penghujung Mei yang lalu bagi menguji skuad Harimau Malaya dalam dua aksi pemanas badan.
Aksi yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada 29 Mei menyaksikan Malaysia bangkit mengikat Cape Verde 1-1 hasil jaringan pemain gantian, Paulo Josue di lewat permainan.
Sementara satu lagi aksi pula dijalankan secara tertutup di Bukit Jalil yang menyaksikan Cape Verde menang dengan keputusan 3-0 hasil dua gol Dailon Livramento dan Heriberto Tavares.
Kini, kisah hebat tercipta apabila Cape Verde akan beraksi di pentas Piala Dunia buat julung kali dalam sejarah bola sepak negara kepulauan kecil di benua Afrika itu yang miliki sekitar 500 ribu penduduk.