3 Aksi Getir Menanti JDT Di Bulan September
MakanBola
Johor Southern Tigers

Johor Darul Ta’zim (JDT) akan menempuh 3 aksi getir dalam saingan Asia dan ASEAN pada bulan September ini.

Permulaan cemerlang dicatatkan oleh pasukan JDT di bawah bimbingan Xisco Munoz apabila merekodkan 5 kemenangan dalam kesemua perlawanan yang berlangsung di bulan Ogos lalu.

Ini termasuklah kemenangan ketika aksi Piala Sumbangsih di laman sendiri menumpaskan Selangor 3-0 selain perlawanan pertama Shopee Cup 2025-2026 mengatasi Lion City Sailors 3-1.

Tugas lebih mencabar menanti pasukan JDT sebaik saingan kembali bersambung nanti dengan AFC Champions League League Elite (ACLE) akan membuka gelanggang bermula 16 September ini.

Sebanyak 5 perlawanan bakal ditempuh oleh JDT di bulan ini dengan kemas kini menyaksikan Penang bakal menjadi lawan pertama skuad Harimau Selatan pada 11 September di laman sendiri.

Salah satu perlawanan getir menanti JDT bermula pada 16 September apabila akan menentang Buriram United untuk aksi pertama ACLE sekaligus mengulangi pertemuan musim lalu.

Selepas itu, anak didik Xisco Munoz akan kembali memberi fokus kepada aksi Liga Super dengan menerima kunjungan Sabah di Stadium Sultan Ibrahim pada 21 September nanti.

JDT bakal menutup bulan September dengan dua lagi aksi getir di peringkat ASEAN dan ACLE apabila akan berdepan Bangkok United pada 25 September serta Machida Zelvia pada 30 September.

Bangkok United bakal hadir ke gelanggang JDT selaku lawan kedua dalam aksi Shopee Cup manakala Machida Zelvia dari Jepun pula turun untuk perlawanan ACLE menentang jaguh Liga Malaysia ini.