3 Kelab Liga Super Perlu Cari Venue Alternatif Di Bulan Ramadan
MakanBola
The Real Warrior FC

Kelantan The Real Warrior (Kelantan TRW) antara 3 kelab Liga Super yang perlu mencari stadium alternatif di bulan Ramadan menjelang musim baharu nanti.

Menurut Mohd Shazli Shaik Mohd selaku Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, 3 pasukan yang perlu menamakan venue alternatif tersebut adalah DPMM, Kelantan TRW dan Imigresen.

Hal ini kerana gelanggang utama buat ketiga-tiga pasukan ini tidak dapat digunakan pada sebelah malam ketika aksi bulan Ramadan nanti dengan stadium di Kelantan dan Brunei bakal digunakan untu aktiviti keagamaan.

Sementara venue yang dipilih oleh Imigresen iaitu Stadium Batu Kawan pula tidak melepasi piawaian dari sudut lampu limpah bagi digunakan pada waktu malam dan memaksa aksi berjalan di sebelah petang.

“Kami telah memaklumkan kepada 3 kelab iaitu DPMM FC, Kelantan TRW dan Imigresen FC (tentang pencarian venue alternatif ini),” kata Mohd Shazli kepada pihak media.

“Jika kita lihat jadual, kelab-kelab ini akan beraksi selaku tuan rumah di bulan Ramadan. Kami (MFL) maklum bahawa venue di Kota Bharu tidak boleh digunakan.”

“Situasi yang sama turut berlaku kepada DPMM FC dan juga Imigresen kerana venue mereka tidak boleh digunakan pada waktu malam.”

“Kami telah meminta kelab-kelab ini untuk menamakan venue alternatif,” katanya lagi.

Walau bagaimanapun, MFL tidak menggalakkan ketiga-tiga kelab ini beraksi di laman lawan terlebih dahulu oleh kerana ini bakal mengganggu sistem penjadualan yang seimbang.

Kemungkinan (3 kelab ini bermain di tempat lawan) itu ada, tetapi kami tidak galakkan kerana kami perlu mengekalkan sistem home dan away yang seimbang.

Maka, badan pengelola liga itu berharap DPMM, Kelantan TRW dan Imigresen dapat mencari dan memuktamadkan venue alternatif antaranya Stadium Darul Makmur atau di sekitar Lembah Klang.

“Pada masa ini, MFL menggalakkan kelab untuk mencari venue alternatif contohnya, masih ada venue di Kuantan yang boleh digunakan.”

“Mungkin Kelantan TRW boleh bermain di Kuantan. DPMM FC pula sedang mencari venue di Lembah Klang untuk dijadikan venue tuan rumah.”

Imigresen FC juga sedang mencari venue lain yang membolehkan perlawanan dimainkan pada waktu malam.

Pihak MFL berharap agar ketiga-tiga kelab berkenaan dapat memuktamadkan venue alternatif sebelum 15 Ogos supaya memastikan proses penjadualan dapat disegerakan.