Prestasi baik Kuching City FC dalam Liga Malaysia (Liga M) mendorong Peter Cklamovski memanggil tiga tonggak pasukan itu untuk kem latihan Harimau Malaya.
Tiga pemain yang terpilih ialah Jordan Mintah, Haziq Nadzli dan Ramadhan Saifullah Usman. Ini berdasarkan senarai 29 pemain yang diumumkan pengurusan skuad kebangsaan.
Haziq, Mintah dan Ramadhan dipilih susulan prestasi baik ketiga-tiga pemain bersama The Cats. Haziq membantu Kuching City kekal tanpa bolos dalam dua perlawanan liga.
Ini termasuk kejayaan menewaskan naib juara liga musim lalu, Selangor FC pada 21 September lalu. Ramadhan pula dilihat semakin menyerlah sejak menyertai Kuching City secara tetap musim ini.
Bekas pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT) itu sudah meledakkan empat gol dan mencipta empat bantuan gol dalam semua kejohanan setakat ini.
Mintah pula menjadi pemain naturalisasi terbaru Harimau Malaya selepas proses tersebut dimuktamadkan pada Ogos lalu.
Kehadiran penyerang kelahiran Ghana itu dijangka menambah kepelbagaian kepada jentera serangan skuad negara.
29 pemain akan menyertai kem latihan pusat di Laos pada 6 hingga 8 Oktober untuk aksi menentang Laos di Vientiane.
Ini disusuli aksi timbal balik menentang lawan sama di Kuala Lumpur pada 14 Oktober dengan kem disambung dari 10 hingga 13 Oktober.