Impian Indonesia untuk meraih 3 mata dalam pusingan ke-4 Kelayakan Piala Dunia terkubur selepas tumpas kepada Arab Saudi pada awal pagi Khamis.
Kekalahan 2-3 yang dialami oleh Indonesia ini menyaksikan Arab Saudi memulakan kempen untuk layak ke Piala Dunia dengan cemerlang lebih-lebih apabila beraksi di hadapan penyokong sendiri.
Gandingan Jay Idzes dan Kevin Diks menjadi taruhan Patrick Kluivert untuk mengemudi pertahanan Indonesia sementara barisan pemain Arab Saudi diketuai oleh penyerang, Salem Al Dawsari.
Kejutan berlaku apabila Indonesia terlebih dahulu di hadapan menerusi tendangan penalti yang disudahkan oleh Kevin Diks seawal minit ke-11 selepas bola terkena tangan pemain Arab Saudi.
Kelebihan itu tidak bertahan lama selepas Arab Saudi berjaya mencetak jaringan penyamaan selang 6 minit kemudian hasil rembatan jarak jauh Saleh Abu Al-Shamat yang menewaskan Maarten Paes.
Pada minit ke-36, giliran tuan rumah pula diberikan sepakan penalti setelah Yakub Sayuri menarik baju pemain lawan dan Firas Al Buraikan tak mensia-siakan peluang itu untuk Arab Saudi di depan.
Firas Al Buraikan sekali lagi muncul penjaring gol untuk Arab Saudi selepas bijak menolak bola ke gawang Indonesia hasil percubaan rakan sepasukan yang gagal ditepis kemas pada minit ke-62.
Indonesia berjaya merapatkan kedudukan 3-2 di penghujung aksi menerusi sepakan penalti Kevin Diks namun jaringan itu sudah terlambat untuk Sang Garuda bangkit mengikat skor.
Suasana perlawanan menjadi tegang pada masa kecederaan apabila Mohamed Kanno dilayangkan kad kuning kedua oleh pengadil selepas membantah keputusan yang diperintahkan.
Aksi di Stadium Alinma, Jeddah berakhir dengan keputusan 3-2 memihak Arab Saudi.
Kemenangan ini meletakkan Arab Saudi di puncak kumpulan B pusingan ke-4 Kelayakan Piala Dunia 2026 dengan 3 mata manakala Indonesia di tangga tercorot tanpa sebarang mata.
Perlawanan seterusnya akan menyaksikan Indonesia bertemu Iraq pada 12 Oktober ini tatkala Arab Saudi bakal menentang lawan yang sama selang 3 hari kemudian di Stadium Alinma.