5 Beregu Malaysia Ke Suku Akhir BWF World Championships
UltraSukan
OCM/BAM

Malaysia masih memiliki 5 wakil di pentas suku akhir BWF World Championships 2025.

Kejohanan BWF World Championships yang berlangsung di Adidas Arena, Paris ketika ini sudah pun sampai di peringkat suku akhir setelah 4 hari diadakan sejak hari Isnin yang lalu.

Seramai 13 wakil badminton Malaysia layak untuk beraksi di Kota Paris ini dengan nama-nama utama menjadi perhatian ramai antaranya Lee Zii Jia dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Beberapa keputusan tidak memihak pemain-pemain negara sepanjang peringkat awal bermula yang menyaksikan hanya 8 beregu sahaja berjaya melayakkan diri ke pusingan 16 kali ini.

Perjuangan 8 beregu negara bagi mendapatkan tiket ke suku akhir tampaknya berakhir dengan kisah suka dan duka ketika 3 daripadanya terpaksa mengucapkan selamat tinggal lebih awal.

Goh Soon Huat-Shevon Lai serta Arif Junaidi-Yap Roy King terpaksa akur tumpas di tangan rakan senegara sementara Izzuddin-Sze dikejutkan dengan kekalahan kepada beregu Chinese Taipei.

Manakala, 5 lagi wakil Malaysia pula bakal membawa cabaran Malaysia ke suku akhir dengan Aaron Chia-Soh Wooi Yik jadi tumpuan bagi mengetuai kem badminton negara pada Sabtu.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan turun berdepan beregu India, Chirag Shetty-SatwiksairajRankireddy dengan impian untuk menambah rekod kemenangan selain juga mara ke pusingan separuh akhir.

Satu lagi pasangan beregu lelaki, Man Wee Chong-Tee Kai Wun juga melangkah ke suku akhir setelah menumpaskan wakil England dan dijadualkan bertemu jaguh nombor satu dunia, Kim Won Ho-Seo Seung Jae.

Tumpuan juga terarah kepada Pearly Tan-M. Thinaah yang akan turun di pusingan suku akhir ini menentang pasangan dari Bulgaria, Gabriel Stoeva-Stefani Stoeva yang berada di ranking ke-19 dunia.

Nasib berbeza pula menanti dua pasangan beregu campuran Malaysia apabila Chen Tang Jie-Toh Ee Wei bakal menentang wakil India di ranking ke-19 dunia iaitu Dhruv Kapilla-Tanisha Castro.

Manakala Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin bakal berdepan tugas getir berdepan jaguh dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dalam misi beregu muda negara ini meneruskan perjalanan di Paris ini.

Pusingan suku akhir BWF World Championships 2025 ini akan bermula pada Jumaat, jam 3.30 petang.