Keceriaan penyokong Malaysia saat Harimau Malaya meledak 5 jaringan ketika menumbangkan Laos pada Selasa memberi harapan palsu buat segelintir penyokong Vietnam.
Malaysia serta Laos berentap di Stadium Nasional Bukit Jalil dalam perlawanan ke-4 pusingan akhir Kelayakan Piala Asia 2027 selepas Harimau Malaya menang dalam aksi terdahulu di Vientiane.
Pasukan tuan rumah dikejutkan dengan gol awal oleh pemain tengah, Chanthavixay Khounthoumphone pada minit ke-20 yang melepaskan percubaan jarak jauh untuk Laos berada di hadapan.
Tiada jaringan tambahan yang terhasil selepas itu meskipun pasukan negara dilihat lebih mendominasi permainan ini dan Laos memasuki bilik persalinan dengan kelebihan tipis satu gol.
Ketika Harimau Malaya ketinggalan kepada Laos, rata-rata peminat bola sepak serantau meluahkan perasaan terkejut melihat keputusan itu tatkala Malaysia dianggap pasukan pilihan pada aksi ini.
Malah, ada segelintir peminat Vietnam di laman Facebook berasa gembira dengan keputusan semasa tersebut dan menyatakan sokongan kepada Laos untuk menumpaskan Malaysia.
”Laos membuat kejutan apabila membuka tirai jaringan menentang Malaysia. Ayuh, saudara-saudara Vietnam (Laos)!” tulis pengguna Facebook, Huyen Dau di ruangan kumpulan Asean Football.
Kegembiraan penyokong Vientnam itu bagaimanapun tidak bertahan lama selepas Malaysia bangkit dengan 5 jaringan pada babak kedua untuk meraih kemenangan ke-4 berturut-turut.
5 jaringan daripada Faisal Halim, Romel Morales, Paulo Josue dan satu gol sendiri memastikan kemenangan bergaya untuk Harimau Malaya meneruskan cita-cita besar ke pentas Piala Asia