5 Kelibat Bintang Tumpuan Hangatkan Aksi Buriram United vs JDT
MakanBola
BUFC/JST

Aksi Buriram United vs JDT pada Selasa bakal dihangatkan dengan kehadiran 5 pemain tumpuan ini.

JDT terbang ke Thailand untuk menghadapi Buriram United dalam aksi pembukaan AFC Champions League Elite (ACLE) dengan misi membawa pulang 3 mata berharga dari tempat lawan.

Manakala Buriram United pastinya enggan hampa di hadapan ribuan penyokong sendiri selain mahu memastikan JDT terus kecewa selepas berjaya menewaskan wakil Malaysia itu pada musim lalu.

Di sebalik pertembungan epik kedua-dua jaguh ini, terdapat kelibat 5 pemain yang dijangka bakal menjadi tumpuan para peminat Buriram United dan JDT.

1- Arif Aiman

Kehadiran pemain lincah, Arif Aiman sudah pastinya menjadi perhatian kedua-dua pasukan dengan benteng pertahanan Buriram United bakal berdepan tugas berat untuk mengawal aksi tonggak JDT ini.

Musim ini sahaja, Arif Aiman sudah pun mencetak 5 jaringan dan melakukan 4 bantuan gol dalam 6 perlawanan sekaligus menyaksikan nama pemain kelahiran Pahang ini antara yang bakal diawasi oleh lawan.

2- Jon Irazabal

Benteng JDT musim ini tampak lebih kemas dengan adanya kelibat Jon Irazabal yang memberi satu nilai tambah kepada keampuhan pertahanan skuad Harimau Selatan menjelang aksi ini.

Malah, Irazabal yang juga tonggak kacukan Malaysia dilihat mampu menghadirkan ancaman menerusi situasi bola mati dengan 4 gol yang sudah terhasil menerusi tandukan beliau.

3- Joao Figueiredo

Seorang lagi pemain warisan Malaysia, Joao Figueiredo akan menjadi salah satu watak yang perlu diberi perhatian khusus di bahagian serangan dengan kelincahan dan juga ketajaman penyudah.

Kelibat Figueredo sudah pasti bakal dikekang oleh benteng Buriram United setelah melihat statistik 6 jaringan dan satu bantuan gol dalam 7 aksi yang dilalui oleh bekas penyerang Istanbul Baseksehir ini.

4- Guilherme Bissoli

Senjata utama Buriram United, Guilherme Bissoli bakal jadi sandaran pasukan tuan rumah bagi merobek gawang JDT berbekalkan pengalaman dan deria pemusnah yang dimiliki pemain Brazil ini.

Bissoli sememangnya dikenali sebagai penyerang prolifik Buriram United dengan musim ini, beliau telah meledak 6 jaringan untuk mengumpul 67 gol bersama kelab gergasi Thailand itu.

5- Suphanat Muenta

Nama Suphanat Muenta menjadi mimpi ngeri JDT di musim lalu apabila jaringan pemain berusia 23 tahun ini membawa Buriram United ke suku akhir ACLE dan menyingkirkan skuad Harimau Selatan.

Kali ini, benteng JDT pasti akan memberikan tumpuan penuh terhadap setiap gerak-geri Suphanat Muenta lebih-lebih lagi selepas penyerang muda ini sudah terlibat dalam 3 jaringan pada musim ini.

Aksi Buriram United vs JDT akan berlangsung pada Selasa di Chang Arena dengan sepak mula perlawanan dijadualkan jam 8.15 malam waktu Malaysia.