Aksi Selangor vs Bangkok United bakal turut dihangatkan lagi dengan kehadiran 5 pemain handalan ini.
Aksi pembukaan AFC Champions League Two (ACL2) pada Khamis bakal menyaksikan Selangor turun di tempat sendiri bagi melayani kunjungan pasukan gergasi Thailand, Bangkok United.
Berdasarkan prestasi semasa, Selangor kini berada di tahap terbaik setelah merekodkan dua kemenangan berturut-turut ke atas Terengganu dan Malaysian University dalam saingan domestik.
Begitu juga dengan pasukan Bangkok United yang kini tidak tewas dalam 4 perlawanan terakhir sebelum ini selain turut berada di tangga ke-3 Thai League 1 kini apabila cemerlang mengutip 10 mata.
Satu perlawanan yang sengit dijangka bakal berlangsung di Stadium MBPJ pada petang ini, selain turut dirancakkan lagi dengan kehadiran 5 pemain tumpuan ini.
1- Chrigor Moraes
Persembahan memukau Chrigor Moraes dalam beberapa aksi membuatkan nama penggemput kelahiran Brazil ini dijangka bakal menjadi sandaran untuk merobek gawang Bangkok United.
Dua hatrik dalam dua perlawanan sebelum ini membuktikan Chrigor Moraes kini berada dalam momentum terbaik untuk menjadi pilihan Katsuhito Kinoshi selain menghadirkan rasa gerun pasukan lawan.
2- Kevin Deeromram
Kehadiran Kevin Deeromram dalam pasukan Selangor pada musim ini banyak memberikan nilai tambah kepada benteng pertahanan selain turut menyumbang tenaga kepada aspek serangan.
4 jaringan dalam 6 penampilan di awal musim ini merupakan satu statistik yang hebat hebat buat seorang pertahanan kiri dan pengalaman beraksi di Thailand bakal jadi senjata untuk Selangor hadapi Bangkok United.
3- Kalamullah Al-Hafiz
Musim yang cemerlang buat Kalamullah Al-Hafiz di gawang Selangor apabila penjaga gol berusia 30 tahun ini sering kali tampil dengan persembahan mengagumkan dalam menyekat usaha pihak lawan.
Ketangkasan Kalamullah dijangka sekali lagi akan ditagih oleh Selangor di pintu gawang untuk memastikan kubu kuat Sang Gergasi Merah terus utuh tanpa dibolosi kelab dari Thailand ini dan meraih kemenangan.
4- Seia Kunori
Pemain serangan kelahiran Jepun memberikan impak segera buat Bangkok United dengan aksi lincah dan larian deras dari sebelah sayap yang bakal memberikan ancaman hebat untuk benteng Selangor.
Dalam 4 aksi Thai League 1 sebelum ini, Seia Kunori berjaya menjaringkan 3 gol selain melakukan satu bantuan jaringan sekaligus memberikan gambaran betapa bahaya dan liciknya jika diberi ruang terlalu banyak.
5- Pokklaw Anan
Jentera tengah Bangkok United diperkuat dengan kehadiran tonggak berpengalaman, Pokklaw Anan yang tampak cukup efektif dalam menyumbang tenaga meskipun sudah berusia 34 tahun.
Kelibat Anan tetap menjadi pilihan jurulatih Bangkok United di bahagian tengah dan pertahanan dengan bermain dalam kesemua 5 perlawanan sebelum ini dan berjaya menyumbat satu gol.
Aksi Selangor vs Bangkok United akan berlangsung pada 18 September di Stadium MBPJ dengan sepak mula perlawanan tepat jam 6 petang.