Lima pemain Malaysia mengukuhkan tempat untuk kekal bersaing dalam kancah bola sepak Eropah.
Hal ini susulan kehadiran beberapa muka baharu yang telah membawa cabaran Harimau Malaya bagi Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 sejak Mac lalu.
Antara pemain negara yang memiliki profil terhebat ketika ini ialah pertahanan Alaves, Facundo Garces.
Pemain berusia 25 tahun itu berhijrah dari kelab Argentina, Calon untuk berkelana di LaLiga sejak awal tahun 2025.
Garces sudah beraksi 10 perlawanan pada musim lalu di LaLiga selain tampil cemerlang pada aksi persahabatan baru-baru ini menentang Athletic Club.
Sementara itu, duo warisan yang beraksi pada posisi serangan iaitu Imanol Machuca dan Rodrigo Holgado terus menjadi sandaran utama pasukan masing-masing.
Imanol yang melakukan debut bersama Harimau Malaya menentang Vietnam pada Jun lalu merekodkan satu jaringan dan satu bantuan jaringan dalam dua perlawanan terakhir.
Holgado pula menjadi watak penting sepanjang musim ini bersama kelabnya, CD America.
Pemain berusia 29 tahun itu sudah beraksi dalam 19 perlawanan pada musim 2025 dan merekodkan 7 jaringan sekali gus membantu pasukan untuk berada di tangga teratas Primera A, Apetura.
Dua lagi pemain – Wan Kuzain Wan Kamal dan juga Gabriel Palmero mencipta impak berbeza di Eropah.
Kuzain berusia 26 tahun kini menikmati musim cemerlang di MLS Next Pro selepas menjadi watak penting buat St Louis City 2.
Beliau merekodkan satu bantuan jaringan dan satu gol dalam 5 aksi terakhir termasuklah menerima penilaian tertinggi dalam 5 aksi tersebut.
Gabriel Palmero yang beraksi di Sepanyol bersama CD Tenerife B membawa haluan baharu secara pinjaman bersama Unionistas CF di Primera Federacion.
Pemain berusia 23 tahun ini menjadi antara pemain warisan baharu terawal bersama Harimau Malaya bersama Hector Hevel.
Harimau Malaya kini memiliki 7 muka warisan baharu dengan aksi menentang Palestin dan Singapura menanti pada September ini.