Aksi antara JDT vs Machida Zelvia bakal menjadi tumpuan lebih-lebih lagi turut dihangatkan kehadiran 5 bintang ini.
Saingan AFC Champions League Elite (ACLE) memasuki hari perlawanan kedua dengan JDT sebagai wakil tunggal negara akan melayani kunjungan juara J1 League, Machida Zelvia di laman sendiri.
Perlawanan hangat antara jaguh Malaysia dan Jepun ini bakal menyaksikan kedua-dua pasukan turun membawa misi besar untuk mengutip 3 mata pertama dalam kempen ACLE musim ini.
Di sebalik pertembungan JDT dan Machida Zelvia ini, kelibat 5 psmain tumpuan ini akan memberi satu nilai tambah untuk para peminat kekal khusyuk menumpukan perhatian kepada aksi.
1- Arif Aiman
Nama Arif Aiman sememangnya menjadi sandara utama JDT untuk menggerakkan serangan di posisi sayap dan meledak jaringan serta menyumbang bantuan gol hasil gerakan lincah pemain berusia 23 tahun ini.
Statistik di awal musim sahaja sudah cukup membuktikan Arif Aiman kini berada di tahap terbaik dengan 5 gol serta melakukan 7 bantuan jaringan dalam hanya 9 penampilan buat JDT.
2- Bergson Da Silva
Momentum Bergson Da Silva hasil dua hatrik dalam dua aksi terakhir dilihat tiba tepat pada waktunya ketika JDT terpaksa akur kehilangan penjaring terbanyak, Joao Figueiredo untuk perlawanan ini.
Kelibat Bergson dijangka bakal menjadi pilihan Xisco Munoz bagi mengetuai jentera serangan JDT dalam usaha merobek gawang Machida Zelvia bersama Jairo Da Silva, Arif Aiman dan Heberty.
3- Nacho Mendez
Ketiadaan Hector Hevel di jentera tengah bakal memberikan ruang buat Nacho Mendez tugas untuk bergerak bebas bagi mengawal tempo permainan pasukan JDT ketika bertahan mahupun menyerang.
Khidmat Mendez yang juga pemain ke-3 JDT memiliki minit permainan tertinggi musim ini dijangka akan menjadi pilihan bersama pemain lain antaranya Natxo Insa, Afiq Fazail, Ager Aketxe dan Nazmi Faiz.
4- Yuki Soma
Musim ini, Yuki Soma menjadi watak penting untuk Machida Zelvia di bahagian sayap dengan serangan yang diatur oleh pemain berusia 28 tahun ini berjaya menghasilkan jaringan buat kelab Jepun itu.
9 jaringan dan 10 bantuan gol dalam 32 penampilan musim ini sudah cukup untuk membuktikan betapa bahaya kelibat Yuki Soma yang kini bergelar penjaring terbanyak Machida Zelvia.
5- Gen Shoji
Ketua pasukan Machida Zelvia ini juga wajar diberi perhatian khusus oleh JDT dek kerana aksi konsisten dipamerkan Gen Shoji yang mengumpul minit permainan paling banyak dalam pasukan meski sudah berusia 32 tahun.
Bukan setakat handal bertahan, Gen Shoji juga dilihat mampu memberi ancaman kepada kubu JDT dengan dua gol terhasil oleh bekas tonggak Toulouse ini selain satu bantuan jaringan musim ini.
Perlawanan antara JDT vs Machida Zelvia bakal berlangsung pada 30 September di Stadium Sultan Ibrahim dengan sepak mula dijadualkan tepat jam 8.15 malam.