5 Watak Hebat Serikan Aksi Selangor vs Tampines Rovers
MakanBola
SFC/TRFC

Aksi Selangor vs Tampines Rovers dalam saingan Asean Club Championship (ACC) Shopee Cup bakal dihangatkan dengan kelibat 5 watak tumpuan ini.

Aksi minggu kedua Shopee Cup bakal menemukan Selangor dan wakil Singapura, Tampines Rovers dengan Sang Gergasi Merah dirudum prestasi hambar selepas tumpas dalam dua perlawanan terakhir.

Sementara Tampines Rovers hadir ke Kelana Jaya membawa rekod kebal tanpa kalah sepanjang musim ini sekaligus akan membuatkan pertemuan antara kedua-dua kelab ini menjadi tumpuan ramai.

Di sebalik kehangatan aksi Selangor vs Tampines Rovers ini, ada 5 pemain tumpuan yang dijangka menjadi watak utama dan perhatian ramai peminat kedua-dua pasukan.

1- Alvin Fortes

Sentuhan hebat Alvin Fortes dijangka menjadi taruhan utama Katsuhito Kinoshi pada aksi kali ini dengan larian deras serta penyudah kaki kiri yang tajam akan memberi ancaman buat Tampines Rovers.

Pemain kebangsaan Cape Verde ini sudah terlibat dalam 5 jaringan untuk pasukan Selangor pada musim ini dengan 3 gol dan dua ‘assists’ yang menjadi nadi utama buat barisan serangan.

2- Noor Al Rawabdeh

Jentera tengah Selangor malam ini bakal menyaksikan Noor Al Rawabdeh berpotensi besar menjadi enjin penting untuk barisan serangan dan pertahanan dalam mengawal tempo permainan.

Statistik cukup membuktikan kehadiran Noor Al Rawabdeh amat penting untuk Selangor dengan 3 bantuan gol selain menjadi pilihan utama untuk bergandingan bersama Nooa Laine.

3- Faisal Halim

Nama Faisal Halim sudah cukup dikenali dengan larian dan gelecekan dari sebelah kiri membelah benteng pertahanan lawan selain mampu untuk mencipta jaringan dan bantuan gol

Pada aksi bertemu Bangkok United minggu lalu, kemasukan Faisal Halim dilihat mengubah corak serangan Sang Gergasi Merah dan bisa pemain kebangsaan ini pastinya akan ditagih malam ini.

4- Shah Shahiran

Enjing tengah Tampines Rovers ini menjadi tunjang penting kepada pasukan dengan keupayaan untuk mengawal corak serangan lawan dan cukup bertenaga beraksi di sekeliling padang.

Ini dapat dilihat hasil statistik Shah Shahiran yang bermain penuh dalam kesemua 5 perlawanan musim ini selain turut berjaya menghasilkan dua bantuan gol buat The Staggers.

5- Trent Buhagiar

Andai ada satu pemain Tampines Rovers yang perlu diawasi oleh Selangor sudah tentu ianya adalah pemain sayap, Trent Buhagiar yang tampil penuh berbisa buat kelab Singapura ini.

Menerusi 4 penampilan musim ini bersama Tampines Rovers, pemain kebangsaan Malta ini sudah pun mencetak 5 jaringan dan membuat dua ‘assists’ termasuklah ketika mengalahkan Lion City Sailors dahulu.

Aksi Selangor vs Tampines Rovers akan berlangsung pada Rabu, 24 September di Stadium MBPJ dengan sepak mula tepat jam 9 malam ini.