6 Tonggak Import Jadi Sandaran Terengganu
MakanBola
Terengganu FC

Pengendali Terengganu FC, Badrul Afzan Razali percaya enam tonggak import mampu membantu pasukan itu memburu kelompok lima pasukan terbaik musim 2025/26.

Hasrat itu dizahirkan beliau apabila ditanya impak yang akan dibawa enam tonggak import pasukan itu untuk musim berkenaan.

Badrul melihat dengan kehadiran enam pemain import kali ini, ini bukan saja memberi peluang kepada pemain-pemain tempatan untuk menyerlah.

Malah, ini juga peluang buat enam tonggak berkenaan untuk tampil cemerlang bersama Peteh apabila musim 2025/26 bermula.

“Musim lepas kita ada sembilan pemain import, tapi musim ini nak pakai enam orang sahaja, jadi sudah tentu saya harap mereka dapat membantu TFC dengan lebih cemerlang kali ini,” katanya.

“Sebab saya tengok sebelum ini beberapa pemain import kita yang ada kurang membantu, dan sebab itu saya mengharapkan mereka yang ada musim ini dapat bagi persembahan yang lebih membanggakan.

“Tapi pemain tempatan kami juga tidak boleh dipandang rendah di mana saya akan terus bagi kepercayaan dan keyakinan kepada mereka untuk sama-sama membantu demi kejayaan pasukan.”

Terengganu membawa masuk Junior Ngong Sam, Gabriel Silva, Yann Mabella dan Careca bagi menghadapi musim 2025/26.

Selain itu, mereka turut mengekalkan khidmat pemain tengah Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov. Peteh dilaporkan turut merekrut bekas bek tengah Khon Kaen United, Diego Landis sebagai pemain import keenam.