Pemangku jurulatih Singapura, Gavin Lee membuat kejutan dengan menyenaraikan tujuh tonggak yang berpangkalan di luar negara untuk aksi menentang Malaysia.
Ini selepas Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) mengumumkan skuad akhir 23 pemain yang akan dibawa ke Kuala Lumpur pada 31 Ogos lalu.
Sebelum ini, ramai penyokong menyangka bekas jurulatih BG Tampines Rovers itu bereksperimen dengan memanggil 25 pemain tempatan untuk sesi latihan pusat.
Antara tonggak yang dipilih Lee ialah Irfan, Ikhsan dan Ilhan Fandi. Jordan Emaviwe, Kyoga Nakamura, Ryhan dan Haryhs Stewart melengkapkan tujuh tonggak tersebut.
Kesemua tujuh pemain ini beraksi di Thailand. Ini termasuk Haryhys yang baru melengkapkan perpindahan ke kelab Uthai Thani.
Bekas kapten Johor Darul Ta’zim (JDT), Hariss Harun terpaksa disisihkan akibat kecederaan. Kecederaan itu dialami ketika aksi Singapore Community Shield baru-baru ini.
Situasi itu menyebabkan Hariss terlepas aksi pertama Singapore Premier League (SPL) dan saingan Kumpulan B Shopee Cup.
Selain aksi menentang Malaysia pada 4 September di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), The Lions akan menentang Myanmar pada 9 September. Walau bagaimanapun, aksi ini ialah aksi persahabatan tertutup buat kedua-dua pasukan.