9 Tonggak Berpengalaman Perkuat Skuad Muda Imigresen
MakanBola
AFL

9 tonggak berpengalaman bakal memperkuat cabaran Imigresen FC II dalam saingan Liga A1 Semi-Pro.

Perkara ini dikongsikan jurulatih pasukan itu, Azlan Ahmad. Azlan percaya gandingan pemain muda dan berpengalaman mampu membantu pasukan itu memburu kelompok lima pasukan terbaik liga.

“Kita membawa masuk pemain muda baharu yang ada pengalaman dalam liga bola sepak tempatan, selain mengekalkan pemain pertahanan import (Brazil) Felipe De Lima Ribeiro dan akan membawa masuk penyerang import baharu,” katanya baru-baru ini.

Antara pemain berpengalaman yang menyertai Imigresen II ialah dua bekas pemain kebangsaan, Nasriq Baharom dan Hafiz Kamal.

Pengalaman Nasriq dan Hafiz membantu Imigresen muncul naib juara liga untuk musim 2024/25 dan bergelar juara pada musim 2023.

Azlan mengakui bukan mudah merealisasikan sasaran kelompok lima pasukan terbaik liga. Ini kerana saingan kali ini disertai Selangor FC II, Johor Darul Ta’zim (JDT) II dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

Pada masa sama, beliau percaya keserasian yang ditampilkan anak buahnya mampu merealisasikan sasaran tersebut.

“Saingan kali ini bukan sama seperti sebelumnya, jadi secara peribadi saya ingin memastikan IFC II menamatkan aksi dalam kelompok lima terbaik,” ujarnya.

Imigresen II bakal membuka kempen liga dengan menentang Manjung City FC pada 2 Ogos ini.