Satu aksi persahabatan antara skuad futsal Indonesia vs Malaysia dijadualkan berlangsung pada 13 Oktober ini.
Perkara ini diumumkan menerusi satu hantaran di Instagram Timnas Futsal yang menyaksikan perlawanan persahabatan yang diatur antara Indonesia dan Malaysia bakal dijalankan di Yogyakarta.
”Aksi persahabatan yang ditunggu akan berlangsung tidak lama lagi. Timnas futsal Indonesia dan skuad futsal Malaysia sedia berentap kekuatan, strategi dan mental di aksi ini,” ujar Futsal Series.
Kedua-dua pasukan kini sedang giat melakukan persiapan bagi menghadapi AFF Futsal Championship yang membuka tirai pada 3 November di Nakhon Ratchasima, Thailand.
Skuad futsal negara bakal membuka tirai saingan berdepan Brunei pada 3 November sebelum bertemu Vietnam serta Thailand dan akan menutup aksi kumpulan A menentang Timor Leste.
Manakala Sang Garuda yang berada di kumpulan B akan bertemu Kemboja dalam aksi pertama pada 4 November sebelum berdepan Australia dan Myanmar dalam perlawanan seterusnya.
Aksi Indonesia dan Malaysia ini bakal berlangsung di Gor Amongrogo, Yogyakarta pada 13 Oktober 2024 dengan sepak mula dijadualkan pada jam 8 malam waktu tempatan.