Skuad bola sepak wanita Malaysia tidak dapat memanfaatkan khidmat penyerang kebangsaan, Intan Serah.
Nama penyerang berusia 25 tahun itu tiada dalam senarai 24 pemain yang diumumkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk aksi persahabatan menentang Arab Saudi dan Laos.
Dua aksi persahabatan yang diadakan pada 23 dan 27 Oktober ini merupakan sebahagian daripada persiapan Malaysia menghadapi ASEAN Women’s Championship.
Intan atau nama sebenarnya Intan Sarah Anisah Zulgafli tidak dapat menyertai skuad kebangsaan kerana ada komitmen peribadi.
Meskipun tidak dapat menggunakan khidmat Intan, jurulatih Malaysian Tigress, Soleen Al-Zoubi menghela nafas lega. Ini kerana majoriti pemain yang beraksi dalam Kejohanan Women’s International Friendly di Arab Saudi pada 2023 berada dalam skuad kali ini.
Ini termasuk penjaga gol, Nurul Azurin Mazlan dan pemain pertahanan berpengalaman, Steffi Sarge Kaur.
Kedua-dua aksi persahabatan ini bakal diadakan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE). Atas sebab itu, skuad wanita negara bakal berangkat ke Dubai pada 20 Oktober ini.