Selebriti terkenal, Hairul Azreen mendedahkan status terkini kecederaan yang dihadapi jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia.
Sebelum ini, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 itu mengalami kecederaan di bahagian pergelangan kaki semasa aksi suku akhir Arctic Open 2024.
Kecederaan tersebut mengakibatkan Zii Jia tewas kepada Jepun, Koki Watanabe dengan keputusan 21-15, 13-21, 21-12.
Meskipun berharap kecederaan yang dialaminya tidak serius, juara Australian Open 2024 itu kemudiannya menarik diri daripada menyertai Denmark Open 2024. Ini kerana kecederaan pergelangan kaki Zii Jia menjejaskan rentak permainannya.
Kini, status terbaru kecederaan anak jati Alor Setar, Kedah itu dikongsikan Hairul Azreen menerusi satu video di TikTok.
Dalam video berkenaan, Zii Jia dilihat membawa Hairul bersiar-siar dengan sebuah kereta pacuan empat roda miliknya. Di ruang komen, seorang peminat bertanya kepada pelakon filem Paskal The Movie itu tentang keadaan terkini bekas juara All England 2021 itu.
Hairul secara ringkas memaklumkan Zii Jia masih belum pulih daripada kecederaan yang dialaminya. Ini bermakna beliau hanya akan kembali ke gelanggang pada November ini.
Zii Jia dijangka fokus kepada dua kejohanan jelajah BWF iaitu Japan Masters 2024 dan China Masters 2024 untuk layak ke World Tour Finals (WTF) pada Disember ini.