Pemilik Buriram United, Newin Chidchob optimis dan yakin mampu untuk menjinakkan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi timbal balik pusingan 16 terbaik AFC Champions League Elite (ACLE).
JDT dan Buriram akan bertemu dalam aksi penentuan tiket ke suku akhir di Stadium Sultan Ibrahim sekaligus menjadi pasukan tunggal dari Asia Tenggara yang kekal bertahan di pentas tertinggi Asia musim ini.
Pertemuan dua jaguh Malaysia dan Thailand ini mendapat reaksi oleh pemilik kelab Buriram United, Newin Chidchob yang mahukan pasukan beliau menewaskan JDT di laman lawan itu.
“Hari ini, kami tidak akan mengakhiri perjuangan seperti dua aksi sebelumnya. Harus ada pemenang untuk melangkah ke depan,” ujar Pemilik Buriram United itu dalam satu kenyataan.
“Kami datang ke sini dengan misi untuk membunuh harimau di gua harimau. Jika gagal, jika tidak menang, bermakna kami harus mengakhiri perjalanan di ACLE 2024/25 begitu sahaja.”
Newin turut menyifatkan JDT bagaikan seekor harimau yang sangat merbahaya apabila beraksi di tempat mereka namun tetap optimis Buriram tahu cara menjinakkan skuad Harimau Selatan ini.
“JDT adalah harimau yang menjaga guanya, penuh bahaya dan didorong oleh sokongan peminat yang membuatkan harimau ini semakin ganas setiap kali bermain di kandang.”
“Namun hari ini, lawan mereka adalah Buriram United, yang telah bertemu dengan harimau ini dua kali sebelum ini.”
“Kami tahu bagaimana untuk berdepan dengan harimau (JDT) ini. Kami juga tahu cara menundukkan dan menjinakkan harimau liar ini supaya menjadi harimau yang jinak,” ulas Newin panjang lebar.
Di akhir kenyataan, Newin meluahkan rasa kagum apabila melihat kejayaan dua pasukan Asia Tenggara ini mencipta fenomena tersendiri dalam saingan ACLE musim ini.
“Tidak kira siapa yang menang hari ini, harus diakui bahawa ACLE edisi ini telah membawa Buriram United dan juga JDT menggegar dunia bola sepak Asia dan mencipta fenomena baru untuk Liga Thailand dan Liga Malaysia.”
“Perlawanan hari ini (Selasa) akan menjadi aksi terbaik dalam bola sepak ASEAN, dan pasukan lebih baik akan melangkah ke peringkat seterusnya,” kata Newin lagi.
Aksi JDT vs Buriram United akan berlangsung pada Selasa, 11 Mac di Stadium Sultan Ibrahim dengan sepak mula tepat jam 8 malam waktu Malaysia.