Wei Chong-Kai Wun Muncul Juara Malaysia Masters, Tundukkan Aaron Chia-Wooi Yik
UltraSukan
BAC 2025

Beregu nombor lapan dunia, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun muncul juara Malaysia Masters 2025 apabila mengatasi cabaran rakan senegara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Selepas mengatasi cabaran Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen, Aaron-Wooi Yik dilihat pilihan utama untuk bergelar juara.

Meskipun begitu, Wei Chong-Kai Wun melihat aksi ini sebagai peluang menebus kehampaan edisi 2023. Ini kerana mereka berjaya mara ke final sebelum tewas kepada wakil Korea Selatan, Kang Min-hyuk-Seo Seung-jae.

Wei Chong-Kai Wun memiliki kelebihan kerana pernah menewaskan Aaron-Wooi Yik dalam saingan Indonesia Masters. Mereka menang dengan keputusan 21-18, 21-15.

Set pertama menyaksikan juara Indonesia Masters itu selesa mendahului Aaron-Wooi Yik pada kedudukan 11-7. Kelebihan itu terus dipertahankan Wei Chong-Kai Wun sebelum menang dengan keputusan 21-12.

Set kedua menyaksikan Aaron-Wooi Yik cuba bangkit untuk mengheret perlawanan ke set penentuan. Mereka mendahului pada kedudukan 13-11.

Wei Chong-Kai Wun sukar mencabar kelebihan yang dimiliki bekas juara dunia 2022 itu. Ini membolehkan Aaron-Wooi Yik menang dengan keputusan 21-15.

Ini menyebabkan perlawanan diheret ke set ketiga. Kedua-dua beregu saling bersaing mendapatkan mata dan pada satu ketika, terikat pada kedudukan 7-7.

Wei Chong-Kai Wun kemudiannya mendahului pada kedudukan 11-9. Kelebihan itu terus dilebarkan juara Taipei Open 2023 itu sebelum menang dengan keputusan 21-16.

Wei Chong-Kai Wun menjadi beregu lelaki Malaysia pertama muncul juara sejak edisi 2013. Tahun tersebut menyaksikan Goh V Shem dan Lim Khim Wah meraih gelaran juara.