EPL: 10 Pemain Liverpool Diikat Crystal Palace
MakanBola
Liverpool FC

Liverpool menutup musim 2024/25 dengan keputusan seri apabila diikat Crystal Palace 1-1 di Anfield.

Kedua-dua pasukan memburu kemenangan pada akhir musim selepas masing-masing bergelar juara Liga Perdana Inggeris (EPL) dan The Emirates FA Cup.

Gandingan Luis Diaz, Mohamed Salah dan Cody Gakpo menjadi sandaran gol The Reds. Penyerang Perancis, Jean-Philippe Mateta mengetuai jentera serangan The Eagles.

Penyokong Liverpool tergamam apabila pelawat mendahului seawal minit kesembilan menerusi Ismaila Sarr.

Bekas pemain sayap Watford itu mudah melorongkan bola ke arah gawang yang kosong melepasi penjaga gol tuan rumah, Alisson Becker.

Tersentak, The Reds mula mengasak untuk memburu gol penyamaan. Percubaan lencong Luis Diaz pada minit ke-26 hanya melepasi tiang gol.

Liverpool bernasib baik apabila gawang mereka bocor lagi empat minit selepas itu menerusi Mateta. Gol tersebut kemudiannya dibatalkan atas kesalahan ofsaid.

Penjaga gol Palace, Dean Henderson bertindak cemerlang menafikan percubaan Diaz pada minit ke-37. Ini memastikan keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung selepas rehat, The Reds memasukkan Trent Alexander-Arnold menggantikan Conor Bradley.

Salah menyangka telah menyumbat gol penyamaan pada minit ke-50 tetapi percubaannya terkena pemain pertahanan Palace, Maxime Lacroix.

Mateta terus menjadi duri dalam daging kepada pertahanan tuan rumah. Beliau membuat percubaan dari luar kotak penalti tetapi berjaya dinafikan Alisson.

The Reds yang terdesak memasukkan Darwin Nunez dan Diogo Jota untuk memburu gol penyamaan. The Eagles pula memasukkan Eddie Nketiah dan Justin Devanny.

Liverpool terus ditimpa malang apabila Ryan Gravenberch dilayangkan kad merah pada minit ke-68. Ini selepas pemain Belanda itu dikesan membuat terjahan ke atas Daichi Kamada.

Situasi ini memaksa pengurus Liverpool, Arne Slot memasukkan Wataru Endo menggantikan Diaz untuk melindungi bahagian pertahanan mereka.

Gol penyamaan yang dicari The Reds akhirnya muncul pada minit ke-84 menerusi Salah. Penyerang Mesir itu mudah menolak hantaran Gakpo bagi menceriakan penyokong di Anfield.

Kedua-dua pasukan berusaha mencari gol kemenangan tetapi keputusan 1-1 kekal sehingga rehat. Keputusan ini menyaksikan Liverpool dan Palace masing-masing kekal di tangga pertama dan ke-12 liga.

Sofascore memilih Salah sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.1.