Manchester United Tumbang Di Tangan ASEAN All-Stars
MakanBola
Manchester United

Kelab gergasi Eropah, Manchester United tumpas di tangan ASEAN All-Stars dalam aksi Maybank Challenge Cup 2025.

Pertemuan penuh bersejarah di Bukit Jalil ini amat dinantikan oleh penyokong Manchester United bukan sahaja di Malaysia dan Asia Tenggara, malah dari seluruh pelosok dunia juga.

Pertahanan kental England, Harry Maguire mengetuai barisan pemain Manchester United tatkala tonggak Harimau Malaya, Sergio Aguero diberi tugas memakai lilitan kapten ASEAN All-Stars.

Permulaan yang seimbang di awal permainan dengan United menguasai kawasan tengah hasil kawalan oleh trio Casemiro, Manuel Ugarte serta Kobbie Mainoo yang beraksi cemerlang.

Meskipun begitu, ASEAN All-Stars juga bermain hebat dalam menyaingi kekuatan United dengan Nguyen Hai Long hampir membuka tirai jaringan apabila sempat menguji Andre Onana di pintu gol.

Di penghujung babak yang pertama, bek kiri United, Patrick Dorgu berpeluang mencetak jaringan pendahuluan The Red Devils namun Patiwat Khammai tangkas menangkap bola itu.

Separuh masa pertama, Manchester United 0-0 ASEAN All-Stars.

Kembali dari rehat, kemasukan Bruno Fernandes ternyata membawa impak yang positif kepada jentera tengah dan serangan Manchester United dengan beberapa percubaan.

Pada minit ke-71, pemain kebangsaan Myanmar, Mg Mg Lwin membuka tirai jaringan buat ASEAN All-Stars apabila tenang menyudahkan lorongan cantik untuk mengatasi Tom Heaton.

Pertemuan di Stadium Nasional Bukit Jalil berakhir dengan keputusan 1-0 memihak ASEAN All-Stars.

Dengan ini, ASEAN All-Stars muncul sebagai juara Maybank Challenge Cup edisi 2025 manakala Manchester United terus kempunan meraih trofi.