Peminat bola sepak Kelantan berpeluang melihat barisan legenda pasukan itu beraksi di Stadium Sultan Muhammad IV.
Selepas beraksi menentang Carabat FC, pasukan legenda Kelantan bakal berentap dengan barisan legenda Selangor untuk aksi amal Duo Cup pada 21 Jun.
Aksi ini dijangka menyemarakkan semangat penyokong Kelantan sebelum saingan Liga Super yang dijangka bermula pada Ogos ini.
Antara pemain yang bakal membarisi barisan legenda Kelantan ialah Badri Radzi, Indra Putra Mahayuddin dan Khairul Fahmi Che Mat.
Legenda Selangor pula dijangka menampilkan bekas pemain pertahanan kebangsaan, Razman Roslan, Azidan Sarudin dan Khairulazhan Khalid.
Aksi ini juga dijangka menampilkan dua tonggak import yang pernah mewarnai Liga Malaysia (Liga M) iaitu Francis Forkey Doe dan Dickson Nwakaeme.
Dickson pernah mewakili Kelantan pada tahun 2013. Forkey Doe pula mewakili Selangor sebanyak dua kali iaitu musim 2013 dan 2017.