Jaguh perseorangan negara, Ng Tze Yong terpaksa berehat panjang akibat kecederaan ligamen anterior krusiat (ACL).
Sebelum ini, Tze Yong mengalami kecederaan lutut ketika beraksi dalam saingan Malaysia Masters 2025 baru-baru ini.
Kecederaan itu menyebabkan beliau terpaksa menarik diri ketika menentang wakil Hong Kong, Angus Ng Ka Lok.
Tze Yong kemudiannya dilaporkan perlu berehat selama dua minggu. Ramai peminat badminton menyangka kecederaan yang dialami beliau tidak serius pada ketika itu.
Walau bagaimanapun, semua ini berubah menerusi perkhabaran terbaru yang dikongsikan wartawan Astro Arena, Faizal Bazari.
Faizal memaklumkan Tze Yong perlu berehat panjang bagi membantu pemulihan kecederaan ACL yang dialaminya.
“Ng Tze Yong difahamkan mengalami kecederaan ACL pada lutut sebelah kanan dan memerlukan masa untuk kembali cergas sepenuhnya ke dalam gelanggang,” katanya di X.
Terdahulu, Tze Yong mengalami kecederaan di bahagian belakang dan berehat selama hampir setahun. Beliau kembali beraksi di peringkat antarabangsa pada April lalu.