Azeem Fahmi terus melakar rekod hebat di Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.
Jaguh pecut Malaysia itu melakar catatan masa 10.26 saat (s) dalam saingan saringan 100 meter (m) Kelayakan Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) di Jacksonville, Florida baru-baru ini.
Saringan beliau menyaksikan T’Mars Mccallum dari Tennessee mengungguli tempat pertama dengan catatan 10.16s.
Jamarion Stubbs dari Alabama pula terpaksa berpuas hati di tempat kedua. Meskipun hanya menduduki tempat ketiga, itu sudah cukup buat Azeem layak.
Ini kerana beliau merekodkan catatan masa ketujuh terpantas daripada 47 pelari yang mengambil bahagian.
Selain bersaing dengan Mccallum dan Stubbs di peringkat suku akhir, Azeem akan berdepan cabaran rakan sepasukan dari Universiti Auburn, Israel Okon.
Okon memiliki rekod peribadi yang baik di trek iaitu 9.91s. Mereka akan disertai Neo Mosebi (Florida), Jaleel Croal (South Florida), Jekovan Rhetta (Alabama) dan Micah Larry (Georgia).
Azeem dilihat berada pada kedudukan terbaik untuk menjadi pelari 100 m pertama dari Asia Tenggara untuk merekodkan catatan masa di bawah 10 saat.
Saingan suku akhir Kelayakan NCAA dijadual berlangsung pada Sabtu ini.