David Rowley Dilapor Berkelana Ke Thailand
MakanBola
Sri Pahang FC

Bekas pemain kebangsaan, David Rowley bakal beraksi dalam saingan Thai League 2 musim hadapan.

Portal Thailand, Think Curve melaporkan pemain berusia 35 tahun itu dikhabarkan telah menerima tawaran kelab Thailand, Chanthaburi FC.

Sekiranya semua urusan berjalan lancar, Rowley akan menjadi pemain Malaysia terbaru beraksi di liga Thailand.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ramai pemain negara beraksi di Thailand. Antara pemain yang pernah berbuat demikian ialah Dion Cools, Fergus Tierney, Muhammad Abu Khalil, Norshahrul Idlan Talaha, Dominic Tan dan Safawi Rasid.

Cools menjadi pemain Malaysia paling berjaya dalam liga Thailand apabila meraih lapan trofi bersama Buriram United. Beliau kini beraksi untuk kelab Jepun, Cerezo Osaka.

Rowley menjadi pemain Sri Pahang terbaru yang dilaporkan mendapat pasukan baharu selepas pasukan Pantai Timur itu menarik diri pada akhir musim 2024/25.

Sebelum ini, Ibrahim Manusi dilaporkan telah menerima tawaran Johor Darul Ta’zim (JDT). Stefano Brundo pula sah memperkuatkan benteng Penang FC.