Bekas penyerang Terengganu FC, Nelson Bonilla memilih untuk kembali ke El Salvador.
Sebelum ini, nama penyerang berusia 34 tahun itu tersenarai antara sembilan pemain yang tidak dikekalkan Terengganu untuk musim 2025/26.
Selain Bonilla, Peteh turut memilih tidak mengekalkan Manuel Ott, Argzim Redzovic, Ismaheel Akinade dan Ivan Mamut.
Susulan itu, ramai penyokong ingin tahu destinasi mana yang bakal menjadi pilihan bekas penyerang Sukhotai FC itu.
Kini, CD FAS mengumumkan Bonilla merupakan pemain baharu pasukan itu. Beliau tiba bersama rakan sepasukan di peringkat antarabangsa, Dustin Corea.
“Selamat datang Nelson Bonilla. Beliau tiba dengan pengalaman, perwatakan dan keberanian untuk menyahut cabaran terbesar dalam kariernya: mempertahankan perisai terbesar negara,” kata kelab itu dalam satu kenyataan.
Bonilla menjadi bekas pemain Terengganu terbaru yang mendapat kelab selepas meninggalkan pasukan Pantai Timur itu.
Selain Bonilla, Mamut juga telah mendapat tawaran kelab baharu. Penyerang Croatia itu kembali ke tanah airnya dengan mewakili NK Varazdin.