Masa hadapan penyerang dari Colombia, Jorge Obregon bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) tampak bakal berakhir tidak lama lagi.
Pemain berusia 28 tahun itu menyertai JDT pada Ogos tahun 2024 dalam usaha skuad Harimau Selatan untuk menambah sengat di jentera serangan bagi menghadapi baki aksi musim lalu.
Walau bagaimanapun, persaingan sengit bersama pemain-pemain seperti Bergson Da Silva, Heberty Fernandes serta Romel Morales telah memberikan kesukaran buat Obregon memburu tempat di dalam pasukan.
Oleh itu, jodoh Jorge Obregon dan JDT dilihat bakal sampai ke penghujung apabila dua rakan sepasukan beliau memuat naik ucapan perpisahan selepas hampir satu tahun bermain bersama.
Bergson dalam satu hantaran Instagram Story memuat naik foto memeluk erat Jorge Obregon dan bakal merindui rakan sepasukannya itu selain mendoakan kejayaan buat beliau.

Manakala seorang lagi penyerang JDT, Heberty Fernandes juga berkongsi rasa yang sama dan mendoakan perjalanan baharu Jorge Obregon selepas ini bakal dilimpahi kejayaan.

Untuk rekod, Obregon yang pernah mewakili Colombia B-20 tahun telah merekodkan 22 penampilan bersama JDT musim lalu serta berjaya mencipta 7 gol dan dua bantuan jaringan.
Sehingga kini, masih belum ada pengesahan rasmi dari pihak JDT mengenai masa hadapan Jorge Obregon ketika pasukan Harimau Selatan itu sudah pun melepaskan 11 orang pemain sebelum ini.