Tiga legenda dalam sejarah Johor Darul Ta’zim (JDT), iaitu Farizal Marlias, Izham Tarmizi, dan S. Kunanlan kini mengambil langkah baharu dalam karier bola sepak mereka apabila sah menyertai Kursus Kejurulatihan Diploma C AFC/FAM.
Kursus kejurulatihan ini dianjurkan oleh Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri dan diadakan di Hotel Amerin, Perling. Kursus ini dijadualkan berlangsung selama lapan hari, melibatkan seramai 21 orang peserta dari pelbagai latar belakang bola sepak.
Sebagai langkah untuk memastikan kualiti pengajaran, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah melantik Encik Wan Jamak Bin Wan Hassan sebagai instruktor utama kursus ini. Beliau turut dibantu oleh Encik Suthesh Nair.
Majlis perasmian kursus ini telah disempurnakan oleh YM Ungku Ahmad Bin Ungku Mohd Zakaria, Pengarah Pembangunan Masyarakat Majlis Bandaraya Iskandar Puteri.
PBNJ dalam satu kenyataan turut mengucapkan selamat maju jaya kepada semua peserta kursus dan berharap kesemua mereka membuat persiapan rapi agar berjaya menamatkan kursus dengan keputusan cemerlang
“Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) juga mengucapkan selamat maju jaya kepada semua dan berharapkan kesemua peserta membuat persiapan dan mendoakan peserta mencapai 100% keputusan lulus,” kongsi Johor Football Development Program di laman Facebook.
Dengan penyertaan tiga bekas pemain JDT dan Harimau Malaya ini, tidak mustahil kita bakal menyaksikan wajah-wajah mereka terus mewarnai landskap bola sepak tempatan dan kali ini dalam peranan baharu sebagai jurulatih yang bakal mencorak generasi pemain masa depan.