Pemain kacukan masa hadapan Malaysia, Harry Montague akan terus bersama kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), West Ham United.
Nama Harry Montague sebelum ini dicanang antara pemain yang miliki darah warisan Malaysia apabila terdapat laporan mengatakan tonggak berusia 16 tahun itu berpotensi wakili negara.
Makluman terkini pemain kelahiran London ini menyaksikan Harry Montague menjadi salah seorang pemain muda yang menerima kontrak biasiswa penuh bersama kelab EPL, West Ham United.
”West Ham United dengan sukacita mengumumkan bahawa 11 pemain muda berbakat telah menandatangani kontrak biasiswa penuh bersama Akademi Bola Sepak kelab itu bagi musim 2025/26,” umum The Hammers.
Harry Montague bersama 10 pemain muda yang lain ini akan menjalani latihan serta sokongan pendidikan daripada pihak di Chadwell Health sepanjang meneruskan karier mereka di West Ham.
Menariknya, kemas kini maklumat pemain di laman sesawang rasmi West Ham United turut memaparkan kewarganegaraan Harry Montague sebagai pemain kacukan England-Malaysia.
Jika benar Harry Montague berpeluang mewakili Malaysia, ini bakal menjadi suatu tambah nilai baharu buat pasukan muda negara khususnya bagi memperkuat jentera pertahanan dan tengah.

Untuk rekod, Harry Montague berkebolehan untuk beraksi di pelbagai posisi seperti perancang tengah, pertahanan kanan dan tengah, sesuai dengan ketinggian beliau yang mencecah 1.85m.
Pada bulan Januari lalu, beliau telah melakukan penampilan pertama bersama skuad bawah-18 West Ham United ketika tewas kepada Arsenal dan menjadi pilihan jurulatih dalam 3 aksi terakhir musim lalu.