Pra-Musim: Melaka Leburkan Tentangan Hebat Kelantan RW
MakanBola
Melaka FC

Melaka FC bangkit daripada kekalahan di tangan skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23) apabila menewaskan Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) dalam aksi terbaru pra-musim.

Selepas dibelasah 4-1 oleh anak buah Nafuzi Zain dalam aksi persahabatan tertutup pada 8 Julai lalu, anak buah K. Devan berharap dapat bangkit memburu kemenangan.

Kelantan RW pula mahu meneruskan momentum selepas mengikat Terengganu FC 2-2 dalam aksi pra-musim pada 4 Julai lalu.

Seperti aksi menentang Malaysia B-23, aksi Melaka dan Kelantan RW dibuat secara tertutup. Ini membolehkan jurulatih kedua-dua pasukan bereksperimen dengan formasi dan pemilihan pemain.

Melaka tidak menunggu lama untuk meraih gol pendahuluan menerusi bekas penyerang kebangsaan, Shahrel Fikri Md. Fauzi pada minit ke-12.

Kelantan RW cuba bangkit memburu gol penyamaan. Walau bagaimanapun, keputusan 1-0 kekal bertahan sehingga tamat perlawanan.

Selepas ini, Kelantan RW akan menentang satu lagi pasukan Liga Super, Negeri Sembilan FC pada 12 Julai ini.