Penyerang Import Baharu Kelantan RW Mula Tunjuk Belang
MakanBola
Kelantan Red Warrior FC

Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) meneruskan persiapan pra-musim 2025/26 dengan membelasah Pusen City FC 5-0.

Selepas aksi menentang dua kelab Liga Super, Terengganu FC dan Melaka FC, anak buah Irfan Bakti Abu Salim berharap dapat meraih kemenangan pertama pra-musim mereka.

Aksi ini turut menyaksikan pasukan Pantai Timur itu menurunkan penyerang import Cameroon, Emmanuel Mbarga.

Bekas pemain sayap Chainat FC itu membuktikan bisanya bersama Kelantan RW apabila meledakkan dua gol terhadap Pusen City.

Kayden Soper, Norshahrul Idlan Talaha dan Rizuan Muda masing-masing mencetak satu gol dalam aksi sama.

Ramai penyokong Kelantan RW teruja melihat bisa gol yang dipamerkan bekas pemain sayap Visakha FC itu.

Malah, pengurusan kelab turut memaklumkan Mbarga juga akan diturunkan dalam aksi persahabatan menentang Negeri Sembilan FC pada 12 Julai.

Penyokong yang belum berkesempatan mendapatkan tiket boleh mendapatkannya secara dalam talian menerusi laman sesawang Kelantan RW.