Jorge Obregon berpeluang menentang penyerang Harimau Malaya, Rodrigo Holgado dalam saingan liga Colombia.
Ini kerana kelab Colombia, CD La Equidad dilaporkan berminat mendapatkan khidmat bekas penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu.
Minat kelab yang berpangkalan di Bogota itu didedahkan wartawan Colombia, Bogor Big baru-baru ini.
“Penyerang Jorge Obregón, 28, telah menerima tawaran formal daripada CD La Equidad. Pemain berharap dapat menyelesaikan masa depannya dalam hari-hari yang mendatang.
“Beliau berunding sebagai ejen bebas selepas beraksi bersama Johor Darul Ta’zim di Malaysia,” katanya di X.
Obregon bebas berunding dengan mana-mana kelab. Semakan di Transfermarkt menunjukkan beliau sudah berstatus ejen bebas sejak 1 Julai lalu.
Sekiranya perpindahan ini menjadi kenyataan, Obregon berpeluang menentang Holgado apabila kedua-dua kelab bertemu pada 12 Oktober ini.
Sepanjang bersama JDT, bekas penyerang HNK Rijeka itu merekodkan tujuh gol dan dua bantuan gol dalam semua kejohanan.