Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Bank Islam terus menjalin kerjasama strategik untuk tahun 2025 hingga 2027.
Kerjasama ini kini memasuki tahun ke-12 di mana ia merangkumi bukan saja aktiviti pemasaran bersama. Malah, kerjasama FAM dan Bank Islam turut membawa kepada kelangsungan program Kad Debit-i Jenama Bersama Team Harimau.
Perjanjian strategik ini dimeterai oleh Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan – Perbankan Runcit Bank Islam, Mizan Masram dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Hj Rahman.
Perjanjian yang dimeterai dalam satu majlis di Menara Bank Islam itu turut disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Bank Islam, Dato’ Mohd Muazzam Mohamed dan Presiden Kehormat FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin.
Mizan dalam satu kenyataan melihat kerjasama Bank Islam dan FAM mampu memberi impak besar kepada pembangunan bola sepak negara.
“Kami percaya bola sepak menyatukan rakyat. Melalui kerjasama ini, Bank Islam mahu menjadi sebahagian daripada semangat itu.
“Justeru, kami amat berbesar hati kerana sekali lagi diberi kepercayaan dan ruang untuk menyumbang secara langsung kepada perkembangan sukan bola sepak negara,” katanya.
Turut senada dengan beliau ialah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemasaran dan Penajaan FAM, CP Dato’ Sri Mohd Yusri Hj. Hassan Basri. Yusri melihat kerjasama ini amat membantu memperkukuh ekosistem bola sepak negara.
“Selama lebih 12 tahun, Bank Islam bukan sahaja menjadi rakan penaja FAM, malah telah muncul sebagai rakan strategik sejati yang memberikan sumbangan bukan hanya dalam bentuk kewangan, tetapi juga dalam memperkasa jenama bola sepak tempatan serta mengukuhkan ekosistem bola sepak Malaysia secara keseluruhan.
“Apa yang lebih membanggakan, hubungan ini telah berkembang daripada sekadar perkongsian komersial kepada satu bentuk perkongsian nilai dan aspirasi bersama sejajar dengan visi FAM untuk mewujudkan satu struktur bola sepak yang menyeluruh, inklusif dan mampu melahirkan lebih ramai pemain, jurulatih serta pegawai teknikal bertaraf antarabangsa,” katanya.
Antara bentuk kerjasama Bank Islam dan FAM ialah Kad Debit-i Team Harimau. Bagi setiap fi pengeluaran, tahunan dan penggantian, RM2.00 akan disalurkan kepada FAM untuk program pembangunan akar umbi.