Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) bakal diperkuatkan dengan kehadiran seorang bekas pemain akademi Manchester United.
Khabar ini dikongsikan sendiri pengurusan Kelantan RW sebagai sebahagian daripada promosi aksi pra-musim menentang Negeri Sembilan FC.
“Malam ini, pemain import baru KRW FC akan tiba dari England. Beliau adalah pemain lepasan dari Akademi Manchester United,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Sebaik khabar tersebut disiarkan di platform rasmi pasukan itu, ramai peminat berspekulasi tentang identiti pemain tersebut.
Yang pasti, pemain berkenaan dijangka diturunkan Irfan Bakti Abu Salim untuk aksi pra-musim keempat Kelantan RW menentang Sang Rusa.
Beliau akan menyertai pemain sayap Cameroon, Emmanuel Mbarga. Mbarga menunjukkan bisanya apabila menyumbat dua gol ketika menentang Pusen City FC.
Penyokong yang mahu melihat pemain tersebut dalam aksi berkenaan boleh mendapatkan tiket di laman sesawang rasmi Kelantan RW.
Aksi pra-musim antara Kelantan RW dan Negeri Sembilan akan berlangsung pada 12 Julai, jam 9.00 malam di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.