Mahkamah Korea Selatan membekukan gaji bekas bintang Manchester United, Jesse Lingard susulan pertikaian bayaran dengan ejen dari Korea Selatan.
Portal Dispatch melaporkan keputusan itu dibuat mahkamah selepas mendapati Lingard berhutang sebanyak AS$250,000 (RM1 juta) dengan Jung Hyun-jung.
Hyun-jung yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Made in Football bertanggungjawab mengatur perpindahan beliau ke FC Seoul pada Ogos 2024.
Ejen tersebut sepatutnya menerima komisyen sebanyak AS$250,000 (RM1 juta) untuk perjanjian tersebut. Walau bagaimanapun, kem Lingard enggan melunaskan bayaran tersebut.
Ini kerana kem bekas bintang England itu mendakwa Hyun-jung gagal melunaskan janji lisan yang dibuat semasa perpindahan tersebut.
Malah, kegagalan ejen tersebut nyaris mendorong Lingard untuk membatalkan perpindahan berkenaan. Susulan itu, kes pertikaian itu dibawa ke mahkamah lebih-lebih lagi selepas beliau memutuskan semua komunikasi dengan kem Hyun-jung.
Mahkamah kemudiannya memutuskan bahawa Lingard perlu menghormati kontrak yang dimeterai. Lantaran itu, mahkamah mengarahkan gaji bulanannya sebanyak £65,000 (RM374,000) dibekukan.
Lingard dilaporkan merasa marah dengan apa yang berlaku dan memilih untuk tidak turun menjalani latihan. FC Seoul kemudiannya campur tangan dan memastikan gajinya pada bulan Jun dibayar mengikut kaedah lain.
Situasi ini dijangka menambah ketidakstabilan yang membelenggu kelab Seoul itu. Sebelum ini, FC Seoul bertindak menjual kapten, Ki Sung-yueng – satu langkah yang mencetuskan kemarahan penyokong kelab itu.