Selangor FC terus kempunan meraih kemenangan pra-musim di bumi Thailand.
Selepas tewas tipis 1-0 di tangan Ratchaburi, Merah Kuning sekali lagi hampa. Kali ini, giliran juara Thai League 2 musim 2024/25, Chonburi FC pula menewaskan Selangor 2-1.
Selepas tewas kepada Ratchaburi, Selangor berharap dapat bangkit dengan menurunkan barisan terkuat. Lima pemain import diturunkan termasuk bekas penyerang Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Willian Lira.
Lira dilihat mencipta impak segera apabila menyumbat gol ke atas kelab lamanya itu. Walau bagaimanapun, The Sharks bangkit dengan meraih dua gol.
Bekas penyerang Terengganu FC, Adisak Kraisorn tenang menyempurnakan penalti buat Chonburi. Penyerang muda Thailand, Tontowan Puntamunee meledakkan gol kemenangan buat tuan rumah.
Selain Adisak, Chonburi turut diperkuatkan dengan kehadiran bekas penjaga gol KL City FC dari Filipina, Kevin Ray Mendoza.
Anak buah Katsuhito Kinoshi berharap dapat meraih kemenangan dalam baki tiga aksi pra-musim di Thailand.
Selain aksi pra-musim di Thailand, Selangor juga dijadual bertemu Asia Warriors FC untuk aksi pra-musim pada 27 Julai ini.