Selepas berehat lebih sebulan, Hafizh Syahrin Abdullah kembali meneruskan cabaran dalam saingan Asia Road Racing Championship (ARRC) 2025.
Selepas pusingan kedua di Litar Antarabangsa Sepang, saingan ARRC 2025 diteruskan di Motegi, Jepun.
Hafizh yang bersaing dalam kategori Asian Superbike 1000 (ASB1000) berharap dapat meraih kemenangan pertama untuk musim 2025.
Sebelum ini, beliau telah meraih tiga kedudukan podium. Ini termasuk podium berganda buat pasukannya, JDT Racing Team di Sepang.
Hafizh sudah melaungkan amaran kepada pencabar beliau dengan merekodkan catatan masa 1 minit (m) 50.913 saat (s) dalam sesi latihan ketiga.
Wakil Thailand, Apiwath Wongthananon merekodkan catatan masa 1:50.989. Zaqhwan Zaidi pula di tempat ketiga dengan catatan 1:51.042.
Hafizh berharap dapat memanfaatkan kelebihan cuaca baik di Motegi untuk memburu pencapaian cemerlang dalam kategori ASB1000.
“Saya percaya esok akan membawa peluang baru, harapnya dengan cuaca baik. Saya mensasarkan keputusan kelayakan yang bagus dan bersiap sedia untuk perlumbaan,” katanya.
Hafizh berharap dapat merapatkan jurang mata dengan dua pendahulu ASB1000, Azroy Hakeem Anuar dan Nakarin Atiratphuvapat.
Kedua-duanya masing-masing mengumpul 71 dan 70 mata di hadapan beliau yang meraih 67 mata.