Kerjasama strategik antara Malaysia dan Australia menjadi agenda lawatan Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Ayub ke negara itu baru-baru ini.
Ini selepas FAM berkongsi siri gambar pertemuan antara beliau dengan Presiden Football Australia (FA), Anter Isaac di Melbourne.
Pertemuan ini dianggap bersejarah bagi kedua-dua badan itu. Ini kerana ini peluang buat FAM dan FA mengadakan kerjasama strategik dalam pembangunan bola sepak terutama di peringkat akar umbi.
Antara fokus utama perbincangan tersebut ialah perkongsian model kejayaan FA dalam pembangunan pemain muda dan kerjasama dalam program akademi remaja.
Selain itu, kedua-dua badan turut bersetuju mengadakan pertukaran pengetahuan dalam sistem liga pembangunan bagi meningkatkan kualiti bola sepak kedua-dua negara.
Joehari menyifatkan diskusi ini amat membantu FAM untuk membawa bola sepak negara ke tahap seterusnya.
“Pertemuan ini membuka pintu kepada lebih banyak kolaborasi dengan Football Australia terutama dalam membina generasi pemain berkualiti dari peringkat akar umbi.
“Kami komited untuk membawa pulang ilmu terbaik bagi memacu bola sepak Malaysia ke tahap lebih tinggi,” katanya.
Selain mengadakan diskusi bersama FA, Joehari turut hadir memberi sokongan kepada skuad Malaysia B-15. Pasukan itu menyertai Emerging Socceroos Championships 2025 atas jemputan FA.