Kelab Vietnam Pecat Tomislav Steinbruckner Selepas 4 Bulan
MakanBola
Dong A Thanh Hoa FC

Bekas pengendali Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner hanya kekal bersama kelab Vietnam, Dong A Thanh Hoa FC selama empat bulan.

Portal TheThao247 melaporkan pengurusan kelab itu dikhabarkan telah melepaskan khidmat beliau. Ini disebabkan prestasi kurang memberangsangkan Thanh Hoa terutama pada akhir musim 2024/25.

Selepas mengambil alih pasukan itu pada 24 Mac lalu, Steinbruckner hanya merekodkan satu kemenangan, dua keputusan seri dan tujuh kekalahan.

Situasi ini dilaporkan mendorong pengurusan Thanh Hoa melepaskan khidmat jurulatih Croatia itu. Pengurusan kelab juga sudah mempunyai calon pengganti Steinbruckner.

Calon tersebut ialah bekas orang kanan Kim Sang-sik, Choi Won-kwon. Won-kwon sebelum ini membantu Sang-sik membimbing Vietnam bergelar juara ASEAN Championship 2024.

Walau bagaimanapun, bekas jurulatih Daegu FC itu kemudiannya meninggalkan barisan kejurulatihan Pahlawan Bintang Emas. Ini kerana Won-kwon mahu kembali menggalas tugas sebagai jurulatih.

Pengurusan Thanh Hoa berharap sentuhan jurulatih berusia 43 tahun itu mampu mengembalikan kegemilangan pasukan itu.