Hafizh Syahrin Hampa Di Jepun
UltraSukan
JDT Racing Team

Pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah terus kempunan meraih kemenangan pertama dalam pusingan ketiga Asia Road Racing Championship (ARRC) 2025 di Motegi, Jepun.

Selepas meraih tiga podium di Buriram, Thailand dan Sepang, Hafizh berharap dapat meraih kemenangan pertama untuk musim 2025.

Bekas pelumba MotoGP itu memperlihatkan keazamannya apabila mengungguli sesi kelayakan Asia Superbike 1000 (ASB1000). Hafizh meraih kedudukan pertama dengan catatan masa 1 minit (m) 49.661 saat (s).

Beliau diapit dua pelumba Jepun untuk perlumbaan pertama ASB1000. Keito Abe berada di tempat kedua dengan catatan 1 m 49.870 s dengan Sho Nishimura pula merekodkan 1 m 49.907 s.

Sebaik perlumbaan bermula, Hafizh pada awalnya berada pada kedudukan baik untuk mencabar kedudukan pendahulu perlumbaan.

Malangnya, pelumba berusia 31 tahun itu terbabas semasa pusingan pertama. Ini menyebabkan Hafizh jatuh pada kedudukan ke-17.

Tampuk pendahulu perlumbaan kemudiannya diambil alih pelumba Honda Racing Thailand, Nakarin Atiratphuvapat. Walau bagaimanapun, kedudukan beliau tidak bertahan lama apabila dipintas Abe.

Abe menerajui perlumbaan meskipun cuba diasak Nakarin, Azroy Hakeem Anuar dan Zaqhwan Zaidi. Hafizh pula mula mengejar dan pada satu ketika, berada pada kedudukan ke-11.

Malangnya, pelumba JDT Racing Team itu hampa apabila terjatuh ketika cuba mengejar Wada Ruka. Situasi ini menyebabkan Hafizh terkeluar dari perlumbaan.

Ini disusuli Nakarin yang terjatuh ketika cuba menghambat Azroy Hakeem. Ini meletakkan beliau pada kedudukan ke-12.

Ketiadaan dua pencabar utama pendahulu pelumba keseluruhan ASB1000 membolehkan Azroy Hakeem melebarkan kelebihan mata di puncak. Beliau menamatkan perlumbaan pertama ASB1000 di tempat kedua.

Abe kekal dominan menerajui perlumbaan untuk meraih kemenangan di hadapan penyokong sendiri. Zaqhwan pula terpaksa berpuas hati di tempat ketiga.

Hafizh masih berpeluang merapatkan jurang mata dengan Azroy Hakeem. Ini kerana perlumbaan kedua ASB1000 akan berlangsung pada 13 Julai ini.