Alvaro Gonzalez Perkuat Benteng CD Tenerife
MakanBola
JST/CDT

Bekas orang besi Johor Darul Ta’zim (JDT), Alvaro Gonzalez memilih kembali ke Sepanyol selepas meninggalkan pasukan itu.

Ini selepas kelab CD Tenerife mengumumkan perpindahan bek tengah berusia 35 tahun itu di platform rasmi mereka.

Gonzalez telah mencapai persetujuan dengan kelab yang berpangkalan di Tenerife itu untuk memeterai kontrak selama dua musim.

“Álvaro González Soberón (1/8/1990; Potes, Cantabria) dan CD Tenerife telah mencapai persetujuan untuk tempoh dua musim seterusnya,” kata kelab dalam satu kenyataan.

“Bek tengah berpengalaman itu dengan karier yang hebat di peringkat kebangsaan antarabangsa, menyertai pasukan biru dan putih itu untuk menyediakan hierarki dan menambah kekuatan di bahagian pertahanan serta pengalaman kepimpinan beliau.”

Sebelum ini, Gonzalez menjadi sebahagian daripada 11 pemain yang tidak dikekalkan Harimau Selatan pada akhir musim 2024/25.

Meskipun hanya beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE), bekas bek tengah Al-Nassr itu membantu JDT layak ke peringkat pusingan 16 pasukan terbaik.

Antara memori terbaik Gonzalez bersama JDT ialah membantu pasukan itu menewaskan Central Coast Mariners (CCM) 2-1. Beliau turut menyumbat dua gol dalam aksi berkenaan.

Selain JDT dan Al-Nassr, Gonzalez juga pernah beraksi untuk Al-Qadsiah, Villarreal, Olympique Marseille, Racing Santander dan Real Zaragoza.

Walau bagaimanapun, beliau tidak akan berpeluang beraksi bersama bek kiri Harimau Malaya, Gabriel Palmero. Ini kerana Palmero kembali bersama UD Las Palmas Atletico selepas tamat tempoh pinjaman bersama CD Tenerife B.