Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan aksi pra-musim dengan satu lagi keputusan hebat apabila mengikat Levante di Sepanyol pada awal pagi Ahad.
Selepas 3 aksi pra-musim di Sepanyol, JDT yang dibimbing oleh Xisco Munoz turun berdepan Levante UD yang meraih kejuaraan Segunda Division, liga divisyen kedua di Sepanyol baru-baru ini.
Pemain sayap Harimau Malaya, Arif Aiman diberi tugas besar bagi memimpin kesebelasan utama JDT dengan nama-nama hebat seperti Jon Irazabal, Nacho Mendez serta penjaga gol, Andoni Zubiaurre.
Permainan tampak seimbang dengan penguasaan bola lebih banyak memihak tuan rumah yang dilihat kerap kali bergerak melancarkan asakan dari sebelah sayap untuk mencari ruang kosong.
Walaupun cuba diasak, barisan pemain JDT kekal tenang dan berdisiplin mengekang serangan lawan dan segera mengatur asakan balas pantas dalam misi membuatkan Levante hampa pada aksi ini.
Separuh masa pertama tamat, Levante UD 0-0 JDT.
Kembali dari rehat, skrip sama seakan berulang dengan Los Azulgranas berusaha keras bagi menembusi benteng kebal JDT yang dikawal rapi oleh Antonio Glauder, Jon Irazabal dan Eddy Israfilov.
Beberapa pertukaran penting dengan membawa masuk Afiq Fazail, Samu Castillejo dan Moussa Sidibe di babak kedua ini tidak mengubah keputusan di mana kedua-dua kelab hampa memburu gol.
Aksi di Pusat Latihan Levante berakhir dengan keputusan tanpa jaringan terhasil sehingga wisel penamat ditiupkan.
Selepas ini, JDT dijadualkan menentang satu lagi kelab dari Sepanyol, Valencia Mestalla pada 14 Julai hadapan di Estadi Olimpic Camilo Cano bagi aksi ke-5 pra-musim di negara itu.