Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan sumbangan dana berjumlah RM1 juta kepada Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA).
Sumbangan tersebut diumumkan beliau dalam Majlis Makan Malam Jubli Emas 50 Tahun Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) yang diadakan pada 12 Julai lalu.
“Majlis ini telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, yang turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM1 juta kepada KLFA bagi menyokong pembangunan bola sepak di ibu kota.
“Sumbangan ini merupakan satu suntikan semangat dan komitmen kerajaan terhadap kemajuan sukan tanah air, khususnya bola sepak Kuala Lumpur,” kata persatuan itu dalam satu kenyataan.
Majlis tersebut turut menyaksikan Anwar melancarkan logo dan jersi baharu KL City FC untuk musim 2025/26.
Logo dan jersi baharu The City Boys dilihat melambangkan wajah baharu pasukan itu yang lebih progresif, profesional dan berdaya saing.
Antara pemain yang diberi peluang memperagakan jersi baharu KL City ialah Safawi Rasid, Zhafri Yahya dan penjaga gol Filipina, Quincy Kammeraad.