ASEAN Charity Shield: Buriram United Belasah Sabah
MakanBola
Buriram United

Sabah FC terlepas peluang mencipta kejutan dalam aksi ASEAN Charity Shield 2025 apabila dibelasah Buriram United 8-2.

Buriram berharap dapat mempertahankan trofi ASEAN Charity Shield yang dimenangi pada 2023. Sabah pula melihat aksi ini sebagai peluang menguji kekuatan menjelang saingan Liga Super yang akan bermula pada Ogos ini.

Penyerang Bosnia-Herzegovina, Ajdin Musagic menjadi sandaran gol Sabah. Ilhan Fandi mengetuai jentera serangan Thunder Castle.

Buriram United tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan seawal minit ketiga. Supachai Chaided melepaskan rembatan kencang yang menewaskan penjaga gol Sang Badak, Damien Lim.

Tersentak, Sabah cuba bangkit memburu gol penyamaan menerusi Musagic, Darren Lok dan Miguel Cifuentes. Malangnya, gerakan mereka kerap dihalang benteng Buriram diketuai Curtis Good.

Supachai terus menjadi duri dalam daging kepada pertahanan Sang Badak. Beliau sekali lagi merobek gawang Sabah pada minit ke-26.

Penyerang baharu Thunder Castle dari Serbia, Fejsal Mulic menambah derita pelawat dengan menyumbat gol pada minit ke-39.

Buriram terus berusaha mencari gol tambahan tetapi keputusan 3-0 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung selepas rehat, Buriram memasukkan Nemanja Nikolic dan pemain pertahanan Indonesia, Shayne Pattynama. Sabah pula memasukkan Jafri Firdaus Chew sebagai pemain gantian.

Guilherme Bissoli memastikan Thunder Castle terus selesa di hadapan menerusi gol pada minit ke-48.

Tatkala Buriram selesa di hadapan, Sabah merapatkan jurang menerusi Stuart Wilkin pada minit ke-64. Pemain tengah Harimau Malaya itu melepaskan rembatan deras yang menewaskan Chatchai Bootprom.

Nikolic mengembalikan kelebihan empat gol Buriram pada minit ke-68. Pemain gantian Sabah, Azhad Harraz Arman menyumbat gol kedua Sang Badak lima minit selepas itu.

Situasi kelam-kabut menyelubungi pertahanan Sabah pantas dimanfaatkan Nikolic untuk gol kedua peribadinya pada minit ke-75.

Bekas penyerang Partizan Belgrade itu melengkapkan hatrik apabila mudah menolak bola ke gawang Sabah pada minit ke-88.

Kenneth Dougall memastikan malam gemilang Thunder Castle dengan rembatan jarak jauh pada minit akhir perlawanan.

Sabah berusaha mengurangkan defisit gol tetapi keputusan 8-2 kekal sehingga tamat. Keputusan ini menyaksikan Buriram mempertahankan gelaran juara ASEAN Charity Shield.