Pemain pertahanan Harimau Malaya, Gabriel Palmero berpeluang beraksi bersama seorang bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) di kelabnya, UD Las Palmas.
Ini selepas kelab LaLiga2 itu mengumumkan perpindahan bekas bintang Sepanyol, Jonathan Viera di platform rasmi mereka.
Pemain sayap berusia 35 tahun itu memeterai kontrak selama setahun bersama Los Amarillos. Viera menjadi pemain kelima yang menyertai kelab yang dibimbing Luis Garcia itu.
“Jonathan Viera akan sekali lagi menyarung warna UD Las Palmas selepas persetujuan dicapai pada tengah hari ini antara kedua-dua pihak.
“Kontrak beliau bersama Los Amarillos akan berjalan sehingga 30 Jun 2026,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Viera berharap dapat memanfaatkan pengalamannya untuk membantu kelab itu kembali ke saingan LaLiga.
“Musim ini panjang dan hanya masa akan menentukan sama ada kita bersedia atau tidak apabila detik-detik penting muncul,” katanya.
“Saya mahu berseronok dan membantu pasukan, membantu semua orang jadi lebih baik. Ia satu tahun yang menarik dan mengujakan – saya harap semuanya akan berjalan lancar.”
Seandainya Palmero diberi peluang beraksi dalam skuad senior Las Palmas, beliau berpeluang beraksi bersama bekas bintang Harimau Selatan itu.
Bek kiri berusia 23 tahun itu kini kembali bersama UD Las Palmas Atletico selepas melengkapkan tempoh pinjaman bersama CD Tenerife B.
Viera bukan satu-satunya bekas bintang JDT yang memilih kembali ke Sepanyol. Bekas orang besi Harimau Selatan, Alvaro Gonzalez memilih menyertai CD Tenerife.