STL: 3 Libasan ‘Maut’ Pemain Melaka Titans Jadi Tumpuan
UltraSukan
SepakTakraw League

Libasan apit kiri Melaka Titans, Zaim Razali dalam aksi final Grand Prix (GP) Kuala Lumpur mencuri tumpuan peminat SepakTakraw League (STL).

Kebiasaannya, peranan melibas bola digalas apit kanan pasukan itu, Azlan Alias. Ini bersesuaian dengan statusnya sebagai antara perejam hebat buat skuad kebangsaan.

Menariknya, libasan padu yang dibuat Zaim yang mencuri perhatian penyokong ketika Melaka Titans bertemu Negeri Sembilan Antlers di peringkat akhir.

Tiga libasan yang dibuat Zaim pada set kedua perlawanan itu bukan saja gagal disekat trio Negeri Sembilan Antlers iaitu Haziq Hairul Nizam, Zuleffendi Sumari dan Hafizul Hayazi.

Malah, ini membuahkan tiga mata penting buat Melaka Titans yang diperlukan untuk bergelar GP Kuala Lumpur. Ini kali kedua Melaka Titans bergelar juara GP STL musim 2025.

Sebaik video libasan Zaim dimuat naik ke TikTok Astro Arena, ramai memuji kualiti libasan yang dibuat bekas apit kiri Penang Black Panthers itu.

Seorang penyokong bernama Mohd Afdal menyifatkan kualiti ini yang dicari dalam mana-mana apit kiri utama.

“Padulah, Zaim. Pemain utama macam ini yang kita mahu,” katanya di ruang komen.

Malah, seorang penyokong lain bernama QeebLeen21 mencadangkan Zaim digandingkan dengan Noraizat Nordin sebagai gandingan Malaysia dalam acara double.

@astroarena

Zaim adalah KILLER pada malam ini! Saksikan aksi STL2025 secara langsung di Astro Arena saluran 801 & Sooka Malaysia IniMilikKita STL2025 CelcomDigiSTL

♬ original sound – Astro Arena – Astro Arena

“Untuk yang main (acara) double Malaysia, Noraizat patut digandingkan dengan Zaim, khidmat Aidil sudah tak diperlukan. Macam Thailand, kedua-duanya boleh pukul,” katanya.

Saingan GP STL musim 2025 diteruskan ke saingan GP Johor yang berlangsung pada Ogos ini.