Dua kelab Kemboja bakal menguji Terengganu FC sebagai sebahagian daripada persiapan pra-musim 2025/26.
Dua kelab tersebut ialah Svay Rieng FC dan Phnom Penh Crown. Ini sebahagian daripada jelajah skuad Terengganu ke Lembah Klang dari 15 hingga 18 Julai ini.
Selain dua kelab Kemboja itu, kelab Liga A1 Semi-Pro, UM Damansara United juga akan menguji keserasian anak buah Badrul Afzan Razali.
“Dalam siri jelajah pra-musim ke Kuala Lumpur ini, Terengganu FC menerima jemputan untuk dua perlawanan latihan tertutup bersama pasukan Svay Rieng FC dan juga Phnom Penh Crown.
“Terengganu FC juga akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang pasukan UM Damansara,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Pengurusan Peteh turut memaklumkan aksi menentang Svay Rieng dan Phnom Penh Crown merupakan aksi persahabatan tertutup.
Jelajah ini dijangka memberi peluang kepada pemain sayap baharu Terengganu, Gabriel Silva dengan pasukan lamanya, Svay Rieng.
Silva beraksi sebanyak 66 kali dengan Svay Rieng dan menyumbat 19 gol. Beliau turut membantu kelab itu muncul juara Cambodian Premier League (CPL) pada musim 2023/24 dan 2024/25.