Selangor akhirnya mencatatkan kemenangan pertama dalam aksi pra-musim di Thailand apabila menewaskan Bangkok FC pada Isnin.
Setelah tumpas dua kali sebelum ini di tangan Chonburi serta Ratchaburi, Sang Gergasi Merah meneruskan aksi pra-musim ke-3 dengan berdepan Bangkok FC yang bermain di saingan Thai League 2.
Bangkok mengambil peluang bagi menguji penyerang baharu dari Filipina, Jarvey Gayoso di kesebelasan utama sementara Selangor pula menampilkan kelibat Faisal Halim selaku ketua pasukan.
Seawal minit ke-10, pintu gol Selangor dibolosi hasil jaringan oleh tonggak sayap berusia 36 tahun, Dudu Lima untuk tuan rumah bermula cemerlang dengan mendahului ketika di awal aksi.
Anak didik Katsuhito Kinoshi mula bangkit merencana asakan dan usaha itu pantas membuahkan hasil selepas Willian Lira mencetak jaringan penyamaan pada minit 15 untuk mengikat skor 1-1.
5 minit kemudian, giliran Bangkok pula ketinggalan setelah kapten Selangor, Faisal Halim berhasil menemui penyudah berbisa untuk membolehkan wakil Malaysia memimpin aksi selepas itu.
Separuh masa pertama tamat, Bangkok 1-2 Selangor.
Kembali dari rehat, pasukan tuan rumah berusaha mengatur langkah untuk kembali mengikat kedudukan namun asakan yang dilancarkan acap kali dipatahkan oleh benteng The Red Giants.
Bintang muda Selangor, Harry Danish menutup aksi dengan jaya apabila meledak gol ke-3 ketika permainan berbaki dua minit lagi sekaligus memberikan kemenangan sulung di bumi Thailand.
Aksi berakhir dengan keputusan 3-1 memihak Selangor.
Selangor dijadualkan bakal menentang dua lagi pasukan di bumi Thailand dalam kempen pra-musim ini sebagai salah satu persiapan untuk menghadapi aksi Liga Malaysia nanti.
Saingan pembuka tirai Liga Malaysia 2025-2026 nanti bakal dimulakan dengan perlawanan Piala Sumbangsih antara JDT vs Selangor di Stadium Sultan Ibrahim pada 8 Ogos hadapan.